PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Mengumumkan Senarai Tiga Menteri Kabinet.

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan senarai tiga Menteri Kabinet yang akan menguruskan tiga kementerian utama di bawah kepimpinan kerajaan baharu.

Beliau mengumumkannya pada sidang media selepas selesai mengadakan mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya, hari ini.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir berkata, tujuh lagi Menteri Kabinet yang akan menerajui beberapa lagi kementerian berkaitan belum diputuskan, hanya diputuskan berdasarkan pertimbangannya.

Katanya, Majlis Pemimpin Utama Pakatan Harapan juga akan ditubuhkan bagi mengkaji keperluan berkaitan ahli Kabinet, di mana wakilnya akan ditentukan setiap parti komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk WARISAN di Sabah dan wakil dari Sarawak.

“Majlis Pemimpin Utama PH antaranya akan dianggotai Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz serta Robert Kwok,” katanya.

Dr Mahathir semalam memaklumkan kerajaan baharu pimpinannya akan memiliki 10 Menteri Kabinet, lebih kecil berbanding kerajaan terdahulu.

Berikut senarai tiga Menteri Kabinet baharu:

Kementerian Kewangan

– Menteri: Lim Guan Eng

Kementerian Dalam Negeri

– Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kementerian Pertahanan

– Menteri: Mohamad Sabu

Musa pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama Sabah

KETUA Menteri Tan Sri Musa Aman hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet negeri selepas mengangkat sumpah jawatan, malam kelmarin.

Difahamkan, mesyuarat yang diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) itu bermula pagi tadi dan tamat pada kira-kira jam 2.30 petang.

Antara yang kelihatan turun dari Bilik Mesyuarat Kabinet negeri di tingkat 30 ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Hajiji Noor, selain Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Masiung Banah.

Musa bagaimanapun terus meninggalkan bangunan PPNS dan hanya melambai kepada kepada media yang menunggu di ruang legar bangunan berkenaan.

Ketika ditemui media, Jeffrey berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan usaha mengukuhkan pentadbiran menerusi penstrukturan beberapa kementerian.

“Ini adalah mesyuarat pertama Kabinet negeri, ia berkaitan dengan soal pentadbiran negeri, ” katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat turut membincangkan soal peletakan jawatan Ketua Menteri dan angkat sumpah Presiden Parti WARISAN Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri malam ini, Jeffrey berkata, tiada perbincangan mengenainya.

Sebaliknya beliau berkata, semua pihak perlu mempertahan dan menghormati Perlembagaan negeri dan amalan demokrasi serta mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Jika benarkan beli orang, ia akan hancurkan mandat rakyat, tidak boleh main-main dengan kepercayaan rakyat. Kita tidak boleh biarkan apa yang berlaku pada tahun 1985 dan 1994 (kejatuhan kerajaan Parti Bersatu Sabah) berulang, ia tidak demokrasi,” katanya.

Mengenai kenyataan Mohd Shafie berkaitan majoriti 35 kerusi dimiliki WARISAN bersama DAP dan PKR, Jeffrey berkata, perkara itu berlaku selepas proses angkat sumpah Ketua Menteri dan jemaah menteri pada Khamis lalu.

“Ketika angkat sumpah itu Shafie tiada majoriti, kami ada… kita perlu hentikan jenaka ini demi kestabilan negeri dan mandat rakyat, demokrasi dan keadilan. Kita perlu ke hadapan… kita boleh kerjasama,” katanya.

Sumber : HMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*