Buat Sidang Media Di Rumah Warganet Pula Sibuk Lock Koleksi Sampai Pak Long Mail Perasan

BUKAN di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya seperti kebiasaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini mengadakan sidang media di kediamannya.

Hanya untuk sementara waktu, Menteri Kanan (Keselamatan) itu perlu berbuat demikian kerana beliau kini menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Ia susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut berada di dalam mesyuarat yang dihadirinya sebelum ini, disahkan positif Covid-19.

Sejak 7 Oktober lalu, sidang media perkembangan Covid-19 oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersiaran secara langsung di kediamannya berikutan beliau masih lagi dalam tempoh kuarantin kendiri.

Sidang media yang turut disiarkan di Facebook (FB) Live Harian Metro menarik perhatian ramai termasuk koleksi barangan yang ada di kabinet barangnya.

Ia menjadi bahan bidaan warganet di ruangan komen FB berkenaan.

Rata-rata warganet di ruangan komen menggunakan perkataan ‘lock’ yang membawa maksud ‘ingin beli’ koleksi barangan terbabit.

Digelar sebagai Pak Long Mail, kemunculan beliau di alam maya terus meraih perhatian netizen seperti baju batik berwarna-warni yang dipakai sehingga disamakan dengan pelbagai jenis makanan termasuk kek lapis.

Terbaharu, latar belakang sidang media di kediaman Ismail Sabri pula menjadi bualan netizen.

Pada sidang media pada petang Selasa, kelihatan sebuah rak yang tersusun kemas beberapa perhiasan termasuk topi keledar, tengkolok, keris, replika rumah kampung termasuk sekeping bingkai gambar.

“Wei… helmet ada, gambar anak-anak,” komen netizen.

“Lawa replika rumah kat belakang tu,” ujar yang lain.

“Lawa helmet, pinjam boleh?” tanya netizen.

“Datuk, boleh tepi sikit tak? Nak tengok belakang tu ada apa lagi,” komen netizen secara bergurau

Malahan, beberapa netizen secara berseloroh cuba membida harga baju kemeja yang dipakai Ismail Sabri termasuk perhiasan lain yang terdapat di rak berkenaan.

“Up lock helmet RM550,” komen netizen.

“Up keris RM125,” ujar netizen yang lain.

“RM1,000 fast lock helmet,” bida seorang lagi.

Komen-komen netizen yang mencuit hati itu nampaknya disedari oleh Ismail Sabri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera

Saya tak faham bahasa orang muda

Menyedari komen mencuit hati warganet itu, Ismail Sabri yang mesra dengan gelaran Pak Long memuat naik hantaran balas di akaun Facebook miliknya selepas sidang media pada 4 petang itu.

“Pak Long terbaca juga komen-komen kalian selepas sidang media perkembangan Covd-19 (Non-Health) tadi.

“Ramai juga ya yang nak bida baju Pak Long dan barang perhiasan di belakang seperti helmet, bola, tengkolok dan sebagainya,” katanya.

Hantaran di Instagram rasmi miliknya yang dimuat naik hari ini pula, beliau menyatakan pada awalnya kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘lock’ sebelum diberitahu rakannya.

“Sebab orang tua seperti saya tergaru-garu kepala saya bila sebut ‘lock’ sebab saya tak faham, itukan bahasa orang muda.

“Bila kawan saya explain (terangkan) barulah saya faham, tergelak besar saya,” katanya.

Rak yang mempamerkan sebahagian perhiasan yang disusun kemas di kediaman Ismail Sabri.

Dalam perkembangan sama, beliau mengagumi idea kreatif warganet yang sentiasa menghidupkan suasana.

“Dulu baju saya jadi kek, kuih dan minuman. Kini ‘lock’ barang-barang di kabinet saya.

“Terima kasih kepada semua netizen yang sentiasa peka dengan sidang media saya. Terima kasih kepada semua netizen yang sentiasa menceriakan dan membuat saya gembira,” katanya.

Dalam hantaran Facebook sama, beliau turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jangan lupa kerap cuci tangan, pakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial. Kita terus lawan dan bangkit kembali menentang penularan Covid-19,” katanya.

sumber: mstar

Kredit: Trending Sangat

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*