Sebahagian Lafaz Dalam Azan Akan Diperlahankan Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Azan merupakan syiar islam yang paling besar bagi umat Islam. Setiap kalimah yang terkandung di dalam azan adalah rangkuman daripada akidah yang dianuti oleh umat Islam. Di dalam kalimah azan terkandung lafaz membesarkan dan mengagungkan Allah SWT serta mengakui tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.Menzahirkan rasa cinta kepada Nabi.Mengajak umat islam agar mendirikan solat yang merupakan tiang agama dan juga menyeru agar umat islam berusaha sehingga mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, lafaz hayya ‘alassolah (marilah bersembahyang) sewaktu azan akan diperlahankan bagi kawasan Wilayah-Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, lapor Awani.Beliau berkata cadangan itu telah disampaikan kepada wakil Istana Negara bagi menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berhubung dengan azan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, antara cadangan lain berkaitan kaedah azan adalah:

Azan tetap akan dikumandangkan seperti biasa kerana ia adalah syiar Islam.Setelah azan, mu’ azzin/bilal hendaklah berpesan, “Solatlah di rumah atau tempat kamu.” dalam Bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia. Ini bagi meraikan beberapa hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad. Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/208) menghukumkan sunat bagi muazzin untuk menyebut sedemikian selepas azan.

Katanya, berdasarkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada Selasa, semua arahan yang dikeluarkan di peringkat negeri mestilah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.
Namun begitu, isu berkaitan agama Islam diselaraskan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri, katanya.

Berkenaan pengurusan jenazah korban COVID-19 yang beragama Islam, katanya, ia hendaklah dilaksanakan sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu.Kelonggaran itu diberikan kerana ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah, katanya.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kes ke-178 dan kes ke-358 atas pemergian mereka. Pemergian mereka pada hakikatnya adalah tragedi yang memilukan buat negara,” katanya.

Para ulama menyebut bahawa azan adalah sunnah yang tidak boleh langsung ditinggalkan. Sehinggakan Nabi menyatakan kelebihan orang yang melaungkan azan. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

Jika manusia tahu apa kelebihan melaungkan azan dan saf yang pertama dan mereka tidak akan mendapatkannya kecuali dengan mengundi nescaya mereka akan mengundi (berebut untuk memperoleh kedua perkara itu). Kalaulah mereka tahu kelebihan bersegera menunaikan solat pasti mereka akan bersegera. Dan jika mereka tahu kelebihan solat Isyak dan Maghrib (secara berjemaah) pasti mereka akan hadir solat walaupun terpaksa merangkak.”.

Kredit:AstroAwani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*