Datuk Seri Tajuddin Dipecat Dari Prasarana. Ini Kata Kata Tengku Zafrul Kepada Tajuddin Di Dalam Surat Diberhentikan Kerja

Perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) ditamatkan serta merta.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kewangan selepas satu surat bertarikh 26 Mei yang dihantar kepada Tajuddin tular di laman sosial, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuasa kuasa serta-merta.

Surat Berkaitan

PM digesa pecat Tajuddin gara-gara sidang media memalukan

Sebelum ini, media sosial kecoh mengenai sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berhubung kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya, berdekatan Stesen LRT Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Isnin lalu yang disifatkan tidak profesional.

Susulan itu, timbul gesaan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib memecat Tajuddin serta-merta setelah tindak-tanduknya dianggap memalukan sewaktu mengadakan sidang media berkenaan.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla menyifatkan sidang media dikendalikan Tajuddin pada pagi Selasa lalu di lokasi kejadian sebagai perbuatan tidak profesional, biadab dan amat memalukan rakyat Malaysia pada saat negara berdepan tragedi kemalangan besar dalam tempoh 25 tahun.

Jelas beliau, tingkah laku Tajuddin sepanjang sidang media berdurasi 21 minit dan 25 saat itu juga menampakkan kedangkalan beliau berhubung fakta latar belakang kejadian, perangkaan berkaitan kemalangan sehinggakan kenyataan dikemukakan seringkali perlu diperbetulkan oleh pegawai-pegawai yang mengiringi beliau.

“Selain itu, beliau juga dilihat tidak peka kepada peristiwa tragis serta perasaan trauma dan kesedihan dialami para penumpang yang menjadi mangsa serta ahli keluarga masing-masing apabila tanpa rasa kesal dan sedih mengeluarkan kenyataan berbentuk jenaka secara biadab.

“Secara keseluruhannya, tindak tanduk hodoh seperti ini oleh para pemimpin politik yang dilantik memegang jawatan kerajaan, wajib dihentikan dan dinoktahkan terus mulai sekarang serta tidak boleh berulang lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindak-tanduk Tajuddin yang dikecam warganet sewaktu mengadakan sidang media berkaitan peristiwa kemalangan dua tren LRT yang menyebabkan sejumlah 47 penumpang cedera parah, manakala 166 lagi cedera ringan.

Laporan terkini mengesahkan bahawa tiga penumpang mengalami pendarahan otak, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, seorang lagi penumpang perlu menjalani rawatan resusitasi serebrum, serta tiga lagi mangsa sedang dirawat di wad biasa kerana antara lain mengalami patah tulang, kecederaan di dada dan di hati.

Dalam sidang media berkenaan, Tajuddin secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong bawah tanah itu adalah ‘normal dengan hanya dua tren bersama, saling bercium’.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut dibidas kerana gagal hadir ke lokasi kejadian bersama-sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong pada malam kemalangan berlaku.

Namun beliau memberi alasan tidak dapat hadir kerana baru selesai bermesyuarat dan bersiap sedia untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

Haniff Khatri berkata, rakyat Malaysia wajib bangkit menuntut Muhyiddin untuk memecat segera Tajuddin kerana sebarang pendapat dangkal yang masih mahu mempertahankan pemimpin seperti ini adalah tidak boleh diterima.

“Keputusan pemberian RM1,000 kepada setiap mangsa kemalangan juga adalah satu penghinaan dan rakyat wajib secara lebih kritikal untuk memberi kata dua terhadap kerajaan supaya negara ini benar-benar memiliki pemimpin berkeupayaan memacu kemajuan, bukan menjadi bahan lawak negara asing,” katanya.

Dalam pada itu, media sosial dihujani gesaan agar Tajuddin disingkirkan daripada Prasarana, susulan polemik selepas sidang media Selasa lalu.

Tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan menjadi sohor kini di Twitter, malah petisyen dalam talian juga dilancarkan bagi menggesa dia berundur segera.

Kerajaan sebelum ini menyatakan siasatan awal mengenai pelanggaran tren LRT di terowong bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru itu disebabkan ‘kecuaian’ pemandu dalam mengendalikan salah satu tren tersebut secara manual.

Agensi Pengangkutan Awam Darat mendapati tren ‘TR240’ yang tidak membawa penumpang dipandu salah arah dan bertembung dengan tren bernombor ‘TR181’ di landasan sama.

Sumber: AstroAwani & SinarHarian

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*