“CEO Air Asia wira tak didendang”- Syed Saddiq Mendedahkan Perkara Sebenar Yang Terjadi.

Apabila video Tony Fernandez memuji bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pesawat AirAsia muncul dengan slogan pilihan raya pro-BN, ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan, Tony Fernandes mendapat kritikan meluas.

Bagaimanapun, ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) Syed Saddiq Abdul Rahman menyifatkan jutawan tersebut sebagai wira yang tidak didendang.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia itu menerima tekanan kerana tindakan serta keengganannya memecat Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi syarikat berkenaan kerana lantang mengkritik perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin muda BERSATU itu berkata bos AirAsia sebenarnya menerima tekanan untuk berbuat demikian.

“Saya ingin berkongsi dengan anda sesuatu yang telah saya simpan untuk beberapa waktu. Saya tidak dapat memberitahunya sebelum ini kerana kami dihantui politik ketakutan.

“Aktivis, ahli politik dan ahli perniagaan yang tidak selari dengan ideologi parti pemerintah akan terancam dan menerima tekanan.

 

“Saya mesti berkongsi ini kerana saya tidak boleh membiarkan seorang wira mendapat dakwaan salah terhadap dirinya,” katanya.

“Cerita ini, ramai yang tidak tahu. Saya terpaksa menyimpannya sebagai rahsia, tetapi di era baru ini, satu era hak bersuara ditegakkan, sudah tiba masanya untuk berubah.

“Inilah kisah Tony Fernandes,” katanya dalam satu kenyataan.

Diskaun tiket penerbangan PRU14

Menurut Syed Saddiq, Fernandes antara orang pertama yang membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau “dihukum kerana bercakap benar kepada kekuasaan”.

“(Fernandes) sekali lagi menjadi wira ketika AirAsia menawarkan diskaun tiket penerbangan dan menambah penerbangan semasa tempoh pilihan raya.

“Ini memalukan beberapa orang dalam lingkungan Najib. Ia menjadi lebih buruk apabila Parti Warisan Sabah (WARISAN) memuat naik poster mengucapkan terima kasih atas langkah ini kerana ia bermakna lebih ramai penyokong WARISAN dapat terbang kembali ke kampung halaman untuk mengundi.

“Ia tidak berhenti di situ. Beliau enggan memecat Rafidah selepas beliau secara terbuka mengkritik Najib Razak walaupun Tony ditekan untuk berbuat demikian.

“Tindakan itu datang dengan harga dan beliau perlu membayarnya,” kata Syed Saddiq.

‘Rakyat boleh mengkritik kerajaan sekarang!’

Beliau berkata Fernandes kemudian ditolak ke sudut dan terpaksa menyatakan sokongannya kepada Najib.

“Beliau terpaksa merakam sebuah video dan kakitangannya terpaksa menukar pakaian seragam mereka. Gambar-gambar keseluruhan acara itu (sokongan BN) diambil tanpa konteks yang betul.

“Tolong Malaysia, jangan label dia sebagai pengkhianat. Kisah ini berdasarkan pengetahuan peribadi saya sendiri.

“Tony telah membantu kami sejak dari awal, tetapi tidak dapat mendedahkannya kepada orang ramai kerana takut penindasan kerajaan, saya serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menilai,” katanya.

Cubaan untuk menghubungi Fernandes tidak berjaya setakat ini.

Sebelum ini Najib naik pesawat ‘Hebatkan Negaraku’ Air Asia

 

Selepas secara terbuka menyokong dasar Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang “mendahulukan rakyat” syarikat penerbangan Air Asia berindak memaparkan tema manifesto Barisan Nasional (BN) ‘Hebatkan Negaraku’ di badan pesawat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengakhiri kempen dua hari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sabah hari ini, pulang ke ibu negara menaiki pesawat berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang tadi.

Selain manifesto ‘Hebatkan Negaraku’, pesawat Air Asia juga tertera logo ‘dacing’ BN.

Pramugari Air Asia juga kelihatan memakai seragam berwarna biru yang juga adalah warna rasmi BN. Secara kebetulan warna merah yang digunakan sebelum ini adalah warna rasmi parti BERSATU pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui Pakatan Harapan menentang BN pada PRU14 ini.

Najib yang tiba di KKIA sebaik selesai program di Kota Marudu kira-kira jam 4 petang tadi, diiringi dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin, sebelum berlepas pada jam 4.45 petang.

Hadir bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau melalui sebuah video yang dimuat naik di YouTube milik Negarakru hari ini dilaporkan mengakui secara terbuka menyokong dasar Najib yang disifatkan beliau sebagai “mendahulukan rakyat” dan membantu syarikatnya berkembang.

“Saya selalu berkata kepada kerajaan dan perdana menteri: Dahulukan rakyat, keputusan kemudiannya menjadi mudah.

“Air Asia bermula dengan dua pesawat dan menjadi 230 pesawat hari ini. Daripada 200,000 penumpang, tahun ini kami akan membawa 89 juta penumpang.

“Dan saya percaya perdana menteri mendahulukan rakyat dan membenarkan Air Asia berkembang walaupun terdapat pelbagai bantahan.

“Saya percaya fikir kerajaan dan perdana menteri bukan meletakkan Tony Fernandez, bukan Air Asia terlebih dahulu, bukan GLC lain, tetapi mendahulukan negara ini dan rakyat Malaysia,” katanya,” katanya.

sumber: malaysiakini.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*